
TUARAN: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Hajiji Hj Noor berkata, para pengusaha pelancongan didaerah ini disaran agar lebih kreatif dan berdaya maju dalam memperkenalkan hasil produk mereka agar Tuaran terus menjadi salah satu destinasi pilihan pelancong.
Katanya, banyak sumber yang boleh diterokai dalam merancakkan industri pelancongan di daerah ini bagaimanapun semua itu tertakluk kepada hasil daya usaha dan komitmen para pengusaha pelancongan itu sendiri untuk memastikan Industri tersebut terus berkembang.
Tuaran sememangnya kaya dengan pelbagai produk yang boleh diketengahkan untuk dijadikan sebagai tarikan dalam industri pelancongan.
Selain kaya dengan kebudayaan suku kaumnya , Tuaran juga masih memiliki khazanah alam semulajadi seperti hutan bakau yang masih tidak terusik sekaligus menjadi daya tarikan bagi daerah ini untuk terus dikunjungi.
Sambil mengambil contoh perkhidmatan perahu yang diusahakan oleh pengusaha pelancongan kecil-kecilan di daerah ini mampu menarik perhatian pelancong.
Perkhidmatan perahu membawa pelancong menyelusuri Teluk Mengkabong untuk menyaksikan kehijauan hutan bakau, melawat rumah bajau dan melihat kunang-kunang di Sungai Tambalang mampu memberikan pendapatan kepada pengusahanya sehingga berpuluh-puluh ribu ringgit sebulan.
Trend pelancong pada masa kini katanya, lebih cenderung kepada aktiviti luar dan berasaskan alam semulajadi, inilah yang harus diberi perhatian dan keutamaan oleh para pengusaha pelancongan.
Meskipun hanya perkhidmatan itu berupa pengangkutan air namun sudah cukup memberi pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya.
Sehubungan itu katanya, para pengusaha pelancongan seharusnya proaktif dan kreatif dalam mencipta perkhidmatan yang lebih menarik agar industri pelancongan di daerah ini tidak malap.
Hajiji berkata,Jangan terlalu mengharapkan kepada kerajaan semata-mata sebaliknya berusaha mencari inisiatif dengan bersandarkan kepada keupayaan dan kreatif dalam menghidupkan industri pelancongan di daerah ini.