TUARAN: Bukit Ruhiang yang terletak di Tamparuli dikenal pasti sebagai antara lokasi yang amat sesuai untuk aktiviti meluncur udara atau Paragliding.
Ini diakui sendiri oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Jahid Jahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Tamparuli selepas melakukan cubaan pertama meluncur udara atau Paragliding bersama ahli-ahli daripada Borneo Air Sport Ozone Adventures.
Aktiviti meluncur udara itu diketuai oleh Kim Dong Sol dari Borneo Air Sport Ozone Adventures.
Jahid berkata, aktiviti sukan atau riadah di udara masih belum diceburi secara meluas kerana sukan ini sememangnya amat mencabar dan berisiko.
Kata Jahid sukan luncur udara itu menyeronokan kerana sesiapa saja boleh menikmati keindahan alam dengan melihatnya dari udara seperti burung terbang.
Luncur udara adalah merupakan sukan lasak yang bermula daripada tempat tinggi, melayang kemudian meluncur mengikut kelajuan angin.
Namun kata Jahid meluncur udara ini memerlukan masa dan lokasi yang sesuai bagi membolehkan seseorang itu melayang di udara.
Difahamkan pasukan Borneo Air Sport ozone Adventures melakukan latihan dengan memilih Bukit Ruhiang, Tamparuli.