
TUARAN: Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Badin di sini melakar sejarahnya tersendiri apabila salah seorang bekas pelajarnya yang cacat penglihatan dianugerahkan sebagai pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia ( STPM) pendidikan khas peringkat kebangsaan pada selasa lalu.
Pengetua SMK Badin Puan Tahnia Jeman berkata, seluruh warga sekolah ini amat berbangga dengan pencapaian Nur Aisyatul Radiah Alidaniah,20,(gambar) apabila terpilih sebagai Pelajar Cemerlang STPM 2008 bagi kategori pelajar calon istimewa ( kategori buta).
Tahnia berkata, Nur Aisyatul Radiah yang merupakan calon aliran sastera memperolehi keputusan empat principal ( P) dalam semua mata pelajaran yang diambilnya iaitu Sejarah dan B dalam Bahasa Melayu, Pengajian Am serta Ekonomi.
“ Tentunya kami di sekolah ini amat berbangga dengan pencapaian Nur Aisyatul Radiah dan ini merupakan kejayaan kali pertama di Tuaran dan Sabah amnya, katanya.
Menurut Tahnia, selain Nur Asiyatul Radiah ,seorang lagi calon pelajar STPM terbaik iaitu Salinah Umin yang berjaya memperolehi 4 Prinsipal.
Katanya, pada keseluruhannya keputusan STPM di sekolah itu tahun lalu meningkat daripada 95.5 peratus 2007 kepada 96.1 peratus.
“ Begitu juga dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) turut mencatatkan peningkatan 96.6 peratus berbanding 96.5 peratus pada tahun sebelumnya, katanya.
“ Pelajar terbaik SPM tahun lalu ialah adik Eve Loisa John, katanya sambil menambah resepi kejayaan sekolah itu adalah hasil daripada kerjasama di kalangan guru dan ibubapa.
Menurutnya, guru-guru di sekolah itu saling bekerjasama mencari formula terbaik bagi membimbing pelajarnya termasuklah menyediakan program khas dengan mengenal pasti masalah pelajar serta berusaha untuk menanganinya.