KUMPULAN AL–RAUDAH JOHAN DUA KALI BERTURUT-TURUT
TUARAN: Kumpulan Ar –Raudhah dari Kampung Serusop berjaya mempertahankan kedudukannya sekali lagi apabila muncul johan dalam pertandingan Marhaban peringkat daerah Tuaran yang berlangsung di Dewan Bersatu Tuaran pada sabtu.
Kumpulan Ar- Raudhah yang dianggotai seramai sembilan orang yang diketuai oleh Abdul Basit Salleh itu menewaskan Kumpulan Al Qahhar dari Kampung Rugading yang mendapat tempat kedua dalam pertandingan itu.
Bagi pertandingan kompang, Kumpulan Al-Ikhlas dari Kampung Gerinsing , Mengkabong muncul johan. Kumpulan itu juga pernah menjadi johan dalam pertandingan yang sama tahun lalu.
Naib johan pertandingan itu pula disandang oleh Kumpulan Al-Qahhar dari Kampung Rugading manakala tempat ketiga pula diraih oleh kumpulan Seri Rebanah Jati dari Kampung Nongkulod.
Antara kumpulan yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan kompang tersebut ialah Anak Soleh Solehah dari Kampung Lok Batik, S.K Rugading dari S.k Rugading, Al-Akmal dari Kampung Karambunai Baru dan Al-Imran dari kampung Pensurun, Mengkabong.
Penyertaan bagi pertandingan kompang tahun ini pada Karnival Kesenian Islam amat menggalakkan berbanding dengan pertandingan marhaban dan nasyid.
Bagi Pertandingan nasyid pula ia hanya disertai dua kumpulan iaitu Isslah dari Kampung Kota ( bagi kategori moden) dan Kumpulan Samrah dari Kampung Laya- Laya ( kategori tradisi).
Kesemua pemenang dalam kategori masing-masing menerima hadiah berupa sijil dan wang. Penyampaian hadiah tersebut akan diadakan pada 31 Mac ini sempena sambutan Maulidurasul peringkat daerah Tuaran.