Unik..rumah kayu beratap nipah di atas air , panorama ini hanya boleh dilihat di Kg Penimbawan Tuaran yang terletak di tanah seberang. Kampung ini bersebelahan dengan Kg Serusup tetapi terpisah oleh lautan.Kampung ini boleh dilalui menerusi jalan tanah merah dari Kampung Lok Nunuk atau Saradan tetapi ia mengambil masa selama satu jam perjalanan kerana agak jauh.
Kalau hendak ke Penimbawan, kita perlu menaiki bot yang mengambil masa kira-kira 15 minit tetapi ia bergantung kepada kelajuan bot dan keadaan laut.Tambang bot pula RM 1.50 seorang.
Ini saya yang agak gayat menaiki bot kerana takutkan ombak ( gambar atas) dalam hati Tuhan saja yang tahu ( tidak tahu berenang..).
Ketika itu saya menyertai rombongan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Hj Noor yang mengadakan lawatan kerjanya ke kampung berkenaan.
Mengikut perancangan, kerajaan akan membina rumah untuk penduduk berkenaan dan difahamkan buat masa ini kerja-kerja menimbus tanah sedang dilakukan. Langkah kerajaan itu adalah untuk memberikan kemudahan tempat tinggal sekaligus menaiktaraf kehidupan mereka.
Ini juga antara misi kerajaan dalam membasmi kemiskinan.
Penimbawan juga kerap menerima kehadiran pelancong daripada Jepun dan Australia , dianggarkan kira-kira 100 orang pelancong dalam sebulan datang ke situ.
Pelancong luar yang datang pula pasti akan teruja melihat deretan rumah yang beratapkan nipah di kampung itu .Mereka kagum dan menyifatkan ianya suatu yang unik kerana di tempat mereka tidak ada rumah sedemikian rupa.
Menurut mereka lagi meskipun dunia kini memacu ke arah pembangunan yang lebih moden serta senibina rumah yang pelbagai bentuk dan saiz namun masih ada juga kalangan masyarakat lain di luar negara mereka yang masih memilih untuk hidup seperti ini ( tiang kayu bakau dan beratap daun nipah).
Bagaimanapun bagi penduduk kampung disitu, mereka bukannya sengaja untuk tidak membina rumah yang lebih baik dan selesa sepertimana kehidupan masyarakat nelayan di kampung-kampung lain tetapi mereka sudah terbiasa dengan kehidupan sebegitu sejak sekian lama.
Apa yang saya difahamkan, Kg Penimbawan ini sudah wujud sejak lebih dua dekad lagi.
Satu lagi keistimewaan atap nipah ini ialah ia mampu menyejukkan persekitaran dalam rumah terutamanya pada waktu tengahari maklumlah wap air laut ( panas kan...) Menariknya lagi, rata-rata penduduk di kampung itu bekerja di jabatan-jabatan kerajaan dan masing-masing memiliki kereta. Tetapi sayangnya kereta, mereka terpaksa tinggalkan di daratan ( kg serusup)... :)