PROJEK PERINTIS BERNAS
KOTA BELUD: Projek Perintis yang sedang giat dilaksanakan di Kota Belud merupakan usaha Padi Beras Nasional Berhad ( BERNAS) dalam memastikan dasar jaminan makanan negara yang diwujudkan kerajaan pada pertengahan tahun lalu tercapai.
Projek perintis ladang BERNAS di Kota Belud merangkumi tanah seluas 498 ekar yang melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Taun Gusi dan Kampung Kesapang.
Seramai 96 orang petani terlibat dalam mengusahakan ladang tersebut. Ia dihasilkan secara usahasama dengan Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang Kawasan ( PPK), Jabatan Pengairan dan Saliran ( JPS) serta Kilang Padi Sri Baju Sdn Bhd iaitu sebuah " Rakan Kilang" BERNAS.
Projek perintis ini telah dimulakan pada bulan Ogos 2008 dan proses penanaman padi pertama telah dilaksanakan pada november 2008.
Sebelum ini Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Hj Dahlan berkata, sebanyak 25 peratus bekalan beras adalah datangnya dari Kota Belud.
Beliau menyifatkan Kota Belud merupakan antara kawasan keselamatan negara kerana peranannya dalam membantu menangani krisis makanan tahun lalu.
Sehubungan itu katanya, projek perintis ini adalah bukti kesungguhan BERNAS menyokong kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran dan penghasilan beras di Sabah yang menjurus kepada peningkatan sara diri beras negara secara amnya.