
TUARAN: Seorang remaja mati serta merta selepas ditetak dengan parang selepas berlaku pertengkaran di sebuah gerai di Kampung Simpang Rungus Panansawa, Kiulu kira-kira 60km dari Tuaran.
Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Suhaimi Hj Wiro berkata, dalam kejadian pukul 5.35 petang ahad itu mangsa yang dikenali sebagai Alexsious Rosidi, 16, dari kampung Paka , Kiulu mati di tempat kejadian selepas ditetak di bahagian dada kiri dan pipi.
“ Mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di kawasan gerai berkenaan tanpa baju serta berseluar pendek.
“ Polis turut menemui sarung parang .terikat pada pinggang mangsa serta terdapat kesan luka yang dalam akibat ditetak di bahagian dada sebelah kiri sepanjang 10cm dan pipi kiri sepanjang 6cm, katanya pada Isnin.
Sementara itu .seorang lelaki berusia 41,yang dipercayai suspek dalam kes itu turut ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat cedera parah di bahagian belakang leher dan dagu.
Suhaimi berkata, suspek yang bekerja sebagai jurupandu ( Guide) kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.
Berdasarkan siasatan awal, sebelum kejadian kedua-dua mangsa yang saling mengenali itu dikatakan mabuk selepas minum minuman keras yang dijual di gerai tersebut.
“ Bagaimanapun berlaku pertengkaran antara mereka yang dipercayai bermula apabila mangsa ( Alexsious) dikatakan menganggu suspek yang sedang tidur. Akibat daripada rasa tidak puas hati mangsa dikatakan telah menetak suspek di bahagian belakang leher dan dagu menggunakan parang.
“ Selepas terkena tetakan itu, suspek dikatakan telah menolak mangsa dan mengambil parang lalu menetak mangsa di bahagian dada kiri dan pipi, katanya sambil menambah beberapa orang yang berada di gerai berkenaan turut menyaksikan kejadian itu..
Suhaimi berkata, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Tuaran diketuai ASP Mohd Taufik Maidin yang pergi ke tempat kejadian telah merampas sebilah parang sepanjang 15 inci yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Kes itu katanya, disiasat mengikut seksyen 302 kanun keseksaan.